Sep 19, 2021 - FASPasukan feeder Selangor FC akan menamatkan saingan Liga Premier 2021 musim ini dengan menentang Kelantan FC pada 21 September (Selasa) ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
Selangor FC 2 terdiri daripada pemain-pemain muda dari lingkungan umur 18 tahun ke 23 tahun telah ditubuhkan pada tahun 2020 selepas FA Selangor bergabung dengan PKNS FC pada penghujung musim 2019. Matlamat jangka panjang penubuhan pasukan ini adalah untuk menyediakan pemain-pemain pelapis yang bersedia untuk mengisi kekosongan dalam skuad utama.
Dengan berada di kedudukan tangga ke-6 liga dengan 24 mata, ketua jurulatih Selangor FC 2, Michael Feichtenbeiner mahu anak-anak buahnya mendapatkan kemenangan mereka untuk perlawanan terakhir musim ini, setelah pihak penganjur liga, Malaysian Footbal League (MFL) memutuskan bahawa kejohanan Challenge Cup untuk tahun ini dibatalkan.
“Perlawanan terakhir mereka menentang Kelantan FC, yang pasti saya mahukan kejayaan daripada mereka dan biarpun pasukan feeder tidak dapat beraksi di pentas Piala Malaysia atau Challenge Cup, kami mahukan kemenangan terakhir ini,” tegas Coach Michael.
“Kita tahu pasukan The Red Warrior sedang berjuang untuk mendapatkan kedudukan yang terbaik untuk berada di kumpulan B atau D dalam saingan Piala Malaysia nanti, tetapi saya akan pastikan pemain-pemain muda ini tidak akan berikan jalan yang mudah untuk mereka.”
Selangor FC mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Selangor FC 2 dalam menempuh perlawanan terakhir mereka musim ini dalam saingan Liga Premier 2021. Semoga kejayaan milik pemain-pemain muda ini!
Demi Kebanggaan.